BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 25 April – Seorang perempuan warganegara Filipina bernama Millie Ann Silva Geronimo berumur 35 tahun yang bekerja sebagai pembantu jualan di kedai emas telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 24 April 2019. 

Kejadian tersebut dilaporkan ke Balai Polis Pusat BSB di mana suspek dipercayai telah melakukan curi terhadap seutas rantai emas kepunyaan Kedai Emas OKKY. 

Siasatan telah mendapati rantai emas dipercayai dicuri berharga BND$4,300 itu telah digadaikan dengan sejumlah wang dan kemudian dikirimkan bagi keperluan dan pengurusan keluarga di Filipina.  

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kerani atau pengkhidmat mencuri harta milik tuannya yang mana jika sabit hukuman tertuduh hendaklah dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 7 tahun dan denda.   

Hasil daripada perbicaraan, pihak Mahkamah telah menjatuhi hukuman pemenjaraan selama 8 bulan kepada tertuduh bermula 24 April 2019. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menegaskan kepada orang ramai agar tidak terlibat dan terdorong dalam menyalahgunakan harta milik orang lain untuk kepentingan diri sendiri yang menyalahi undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI