KUALA BELAIT, Sabtu 17 Ogos 2019 – Empat (4) orang suspek terdiri daripada dua (2) warganegara tempatan dan dua (2) warganegara Filipina dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini 17 Ogos 2019 kerana dipercayai terlibat dengan kes curi yang berlaku di Marine Construction Yard, Brunei Shell Petroleum, Jalan Setia Raja, Kuala Belait. 

Laporan aduan berkenaan diterima oleh Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 10 Ogos 2019 yang melibatkan kehilangan beberapa plat besi kepunyaan Syarikat Brunei Shell Petroleum. 

Hasil siasatan dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua orang lelaki yang dicurigai menggunakan jentera Foklif untuk mengangkat sejumlah plat besi dari tempat penyimpanannya ke dalam lori. 

1- Suspek pertama Abdul Masmin bin Haji Abdul Mumin, 43 tahun bekerja sebagai kakitangan Syarikat BSP. 

2- Suspek kedua Abdul Wafiy bin A.Mazlan, 29 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan. 

3- Suspek ketiga Ernie Caballero Magna, 41 tahun dan bekerja di Syarikat Swasta. 

4- Suspek keempat Jhon Smith Lou Prantilla, 23 tahun bekerja di Syarikat Swasta. 

Kesemua suspek berdepan dengan pertuduhan kesalahan Curi di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut sehingga 19 Ogos 2019 untuk perbicaraan selanjutnya. 

Pihak Polis mengingatkan orang ramai supaya jangan terlalu mudah terpedaya dengan menerima bayaran atau upah dalam melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang, malah dinasihatkan jika perkara sedemikian berlaku untuk segera menyalurkan maklumat tersebut ke Balai Polis berdekatan atau ke talian kecemasan Polis 993. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI