SENGKURONG, Ahad 15 Sep 2019 – Satu operasi bersepadu telah dijalankan bersama-sama di antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) ke atas tiga buah lokasi berasingan yang melibatkan premis perniagaan yang beralamat di Simpang 1542 Kg Sengkurong dan rumah-rumah kediaman pekerja warga negara asing di sekitar Jalan Mulaut-Limau Manis.

Dalam operasi berkenaan seramai 50 orang anggota terdiri dari pegawai serta anggota beruniform terlibat dan telah diberikan taklimat tentang kawasan sasaran yang akan dilibatkan untuk operasi memeriksa yang disampaikan dan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Insp Mohd Faizal Iswandy bin Ali Othman.

Pemeriksaan tersebut dijalankan sekitar jam 2200hrs di semua lokasi berkenaan. Kawasan sasaran kali ini melibatkan premis jenis rumah kedai dan bilik sewa yang didiami oleh pekerja-pekerja warga negara asing di lokasi yang telah dinyatakan.

Tujuan pemeriksaan ini dibuat adalah bagi memastikan mereka yang tinggal di negara ini tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah dan dalam masa yang sama juga menegaskan mereka mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang ada untuk menetap di negara ini. Operasi sedemikian adalah sebagai langkah pencegahan dan juga pengawalan terhadap pekerja warga negara asing.

Pasukan Polis Diraja Brunei dengan kerjasama Agensi-Agensi yang lainnya akan berusaha mempergiatkan operasi dan menguatkan pengawalan ke atas pekerja-pekerja warga asing dari masa ke semasa demi menjaga keamanan dan kesejahteraan Negara.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI