GADONG, Sabtu 6 Disember 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah  menganjurkan Acara Rentas Desa bagi tahun 2025 yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan warga pasukan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin serta Datin. Acara bermula pada jam dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan sesi pemanasan badan yang dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani (PTI) PPDB.

Acara larian merangkumi dua jarak iaitu 6KM dan 3.5KM yang melibatkan pelbagai kategori termasuk Terbuka Lelaki dan Wanita berumur 39 tahun ke bawah, kategori Masters serta acara santai jog. Secara keseluruhan, seramai 245 peserta mengambil bahagian dalam jarak 6KM manakala 196 peserta menyertai jarak 3.5KM, dengan penyertaan terbesar dicatatkan oleh kategori Anggota Lelaki Masters seramai 122 orang. Pelepasan bagi kedua-dua jarak disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, diiringi oleh Pengerusi Majlis Sukan PPDB, Penguasa Kanan Polis Haji Khairul Amilin bin Haji Idris.

Acara diakhiri dengan Majlis Penyampaian Pingat kepada 70 orang pemenang. Anugerah khas iaitu “Anugerah Cawangan Bagi Pingat Terbanyak” turut diumumkan, menekankan simbol semangat Berpasukan, Daya Saing, dan Kesukanan yang tinggi di kalangan cawangan-cawangan PPDB. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama Tetamu Kehormat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI