SERIA, Sabtu 23 Mei 2020 – Seorang pekerja syarikat di sebuah sektor swasta telah menerima ugutan daripada seorang individu untuk menyebarkan gambar-gambar aib mangsa di pejabat melalui talian nombor telefon jika gagal membayar wang sebanyak BND550. 

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) syarikat berkenaan, syarikat telah mengesyaki seorang pembersih di tempat kejadian kerana didapati bermain telefon bimbit dalam keadaan yang mencurigakan. 

Hasil daripada siasatan, tertuduh telah mengakui merakam video mangsa yang sedang membuang air besar dari tandas sebelah dan kemudiannya melakukan screen shot rakaman video tersebut lalu mengugut mangsa. 

Ugutan itu dipercayai dilakukan kerana suspek terdesak untuk mendapatkan wang untuk membayar hutang. 

Tangkapan dilakukan oleh keanggotaan Ibu Pejabat Daerah Polis Belait dan Balai Polis Panaga terhadap Muhammad Afham Wafi bin Bujang berumur 25 tahun bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah ini. 

Pada 23 Mei 2020, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan dan kes disiasat mengikut Seksyen 383 dan 384 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu pemerasan. 

Pihak Mahkamah telah memerintahkan tertuduh untuk direman di Penjara Maraburong sehingga tarikh sebutan kes selanjutnya. 

PPDB memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku membabitkan kegiatan jenayah dan akan menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukan di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI