BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 13 Mei 2020 – Unit Pendakwaan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan pertuduhan ke atas seorang warga asing di Mahkamah Majistret kerana dipercayai telah melakukan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk. 

Menurut insiden awal, tertuduh penama Ariel Tolentino Sabado berumur 42 tahun telah ditahan susulan daripada pemeriksaan sekatan jalanraya semasa Operasi Sepadu yang dikendalikan oleh PPDB bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) di Jalan Tutong pada 28 Januari 2020 yang lalu.  

Tertuduh telah dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 26 (1)(b) Akta Lalulintas Penggal 68 iaitu memandu dalam keadaan mabuk di bawah pengaruh alkohol. 

Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah atas kesalahan tersebut berdasarkan bukti-bukti yang telah diperolehi dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak $2,000. Jika gagal membayar denda hukuman pemenjaraan selama 2 bulan akan dikenakan ke atas tertuduh. Tertuduh telah dilepaskan dengan ikat jamin Mahkamah dan diberi tempoh sehingga 28 Mei 2020 bagi menjelaskan hukuman denda. 

Pihak Mahkamah juga memerintahkan ke atas tertuduh bagi penggantungan lesen memandu selama 3 tahun bermula pada tarikh 12 Mei 2020. 

PPDB dengan tegas ingin mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali pemandu-pemandu kenderaan untuk menghindari dari melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan Akta Lalulintas seperti mabuk semasa memandu dan sebagainya. Implikasi daripada perbuatan tersebut boleh sahaja memberi kesan kepada kecederaan diri, anggota badan, nyawa bahkan melibatkan kehilangan keluarga. 

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Inspektor Hayati bte Tassim daripada Unit Pendakwaan Polis dihadapan Hakim Majistret Marzuqi bin Sabtu. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI