BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 8 Jan 2020 – Seorang lelaki warganegara Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada 8 Januari 2020 berikutan aduan yang diterima oleh Balai Polis Berakas berhubung kehilangan satu bag tangan di salah sebuah kedai makan di kawasan Kg Serusop pada 30 Disember 2019 yang lalu.
Kejadian berlaku bilamana mangsa tertinggal satu bag tangan di kedai makan tersebut dan hasil penelitian yang dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang pekerja kedai telah mengambil bag tersebut lalu membawanya ke dalam ruangan stor dan kemudiannya mengambil isi kandungnya justeru membuang bag tersebut di tempat pembuangan sampah belakang kedai.

Suspek bernama Muhlis Setiawan berumur 22 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu pelepasan harta secara tidak jujur.
Pihak Mahkamah telah memutuskan hukuman bagi tertuduh dengan denda sebanyak BND$1500 dan jika gagal membayar denda akan dihukum pemenjaraan selama tempoh 1 bulan. Oleh kerana tertuduh tidak dapat membayar denda, hukuman pemenjaraan selama sebulan dikenakan ke atas tertuduh yang bermula pada 8 Januari 2020.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa peka menjaga harta benda dan barang persendirian agar tidak memberi ruang dan kesempatan kepada penjenayah untuk melakukan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
