BRUNEI MUARA, Selasa, 9 Jul 2024 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Brunei Muara bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah menjalankan Operasi Sepadu bersama agensi-agensi Penguatkuasa undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Terlibat di dalam operasi sepadu ini adalah pegawai dan anggota seramai 194 orang dari Daerah Polis Brunei Muara, PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE).
Operasi ini bermula sekitar jam 11 malam ini dan telah diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara (Operasi) berserta pegawai-pegawai dan anggota-anggota dari Daerah Polis Brunei Muara dan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dan peraturan-peraturan yang terlibat. Sasaran operasi tertumpu kepada dua lokasi di kawasan Jalan Kianggeh, Bandar Seri Begawan.
Sebagai salah satu initiatif dari Agensi Penguatkuasa Daerah Polis Brunei Muara, tujuan operasi ini adalah untuk memastikan pelaksanaan perjalanan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-78 Tahun di Daerah Brunei Muara berjalan dengan lancar melalui pendekatan pencegahan jenayah.
Berikutan hasil daripada operasi berkenaan, JKED telah melaporkan 3 kes atas kesalahan memiliki barang ditegah, seperti minuman keras, vape dan rokok di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006. Manakala, seramai 4 orang warganegara asing telah ditahan oleh pihak JIPK atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen yang sah dan pihak JBBSB pula mendapati kesalahan meninggalkan sebuah kenderaan terbiar di kawasan awam.
Selain daripada itu, JPE telah mendapati sebuah premis yang didapati membuat pelencongan pendawaian (meter bypass), iaitu kesalahan di bawah Seksyen 9 (1)(a), Akta Elektrik, Penggal 71; penyambungan tanpa kebenaran (unauthorised connection) dan tidak melalui meter (meter bypass) untuk diberikan kepada kediaman lain yang mana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 9 (1)(a) dan (b), Akta Elektrik, Penggal 71.
Operasi ini adalah salah satu langkah proaktif agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam membendung kegiatan jenayah dan pelanggaran peraturan-peraturan di Daerah Brunei dan Muara disamping mengeratkan lagi kerja berpasukan di kalangan agensi-agensi kerajaan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
