TEMBURONG, Selasa 04 Februari 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu Operasi Tinjauan di kawasan Daerah Temburong, dan telah menjumpai 2 buah kereta yang mencurigakan, dipercayai membawa barang tegahan.
Pada kira-kira jam 12 tengah malam, atas pemantauan yang dibuat, pihak PPDB telah mendapati dua buah kereta yang disyaki membawa barang tegahan dan setelah pemeriksaan dijalankan, mendapati salah satu kereta yang diperiksa mengandungi banyak bungkusan kertas besar hampir memenuhi kereta tersebut. 2 Pemandu dan 4 penumpangnya dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut.
Operasi Tinjauan tersebut telah berjaya merampas 170 Kg Sayap Ayam dan 40 Kg Tongkeng Ayam. 6 orang lelaki warga tempatan yang terlibat, berumur sekitar 44-34 tahun dan tidak bekerja ditahan bersama barang-barang tegahan dan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya.
Pihak PPDB tetap teguh dalam komitmen untuk memastikan keselamatan masyarakat daripada sebarang kegiatan jenayah dan yang menyalahi undang-undang. Kejayaan operasi ini membuktikan kepekaan dan ketegasan PPDB dalam memantau serta membanteras kegiatan penyeludupan. PPDB menggesa orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah, dan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa. Kerjasama anda amat penting dalam mengekalkan keamanan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
