BRUNEI MUARA, Rabu, 11 Mac 2026 – Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Operasi Teluk bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menemui beberapa barang tegahan di kawasan Kampong Menunggol.
Penemuan tersebut berlaku apabila beberapa kotak mencurigakan berhampiran sebuah rumah kayu yang tidak berpenghuni dijumpai semasa rondaan, susulan maklumat orang awam.
Pasukan Operasi Teluk kemudian dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut. Hasil pemeriksaan mengesahkan kotak-kotak berkenaan mengandungi barang-barang tegahan, manakala sebahagian daripadanya turut ditemui di dalam rumah tersebut. Kesemua barang berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bagi tujuan siasatan.
Antara barang yang ditemui ialah 1,000 karton dan lapan paket rokok pelbagai jenis, 48 botol serta 119 tin minuman keras pelbagai jenama, selain 100 kotak dan 32 unit mercun pelbagai jenama.

Kesemua barang tegahan tersebut telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut.
PPDB terus mempertingkatkan rondaan serta operasi bersepadu bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang kegiatan jenayah. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat melalui Talian Kecemasan Polis 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
