BELAIT, Jumaat 18 Sept 2020 – Satu operasi sepadu sekatan jalanraya telah dijalankan oleh keanggotaan Daerah Polis Belait bersama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan juga Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Sungai Liang, Daerah Belait. 

Sekatan jalanraya yang dikendalikan pada sekitar jam 8 malam tersebut diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Alvin Goh dan melibatkan sejumlah 50 orang keanggotaan dan ahli daripada agensi penguatkuasa undang-undang. 

Daripada operasi yang dijalankan di dua (2) lokasi itu, beberapa tindakan telah diambil terhadap para pemandu atas kesalahan-kesalahan seperti ; 

PPDB : 16 kesalahan – melibatkan plat nombor kenderaan kabur, tayar kenderaan nampak benang, lesen kenderaan mansuh, memasang tabir dan beberapa kesalahan lagi. 

JKED : 1 kesalahan – memiliki barang tegahan rokok tanpa permit kebenaran. 

JPD : 8 kesalahan – di antaranya pengubahsuaian kereta, memasang atap dan kerusi tanpa kebenaran, membuka kerusi tanpa kebenaran, kerusi rosak/koyak dan lain-lain lagi.

Adapun tujuan utama operasi dijalankan adalah bagi memastikan para pengguna jalanraya sentiasa patuh mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di samping menjalankan tugasan memantau, mencegah serta menahan jika ada sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang didapati. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi penguatkuasa yang lain akan sentiasa berusaha dan tidak akan kendur-kendur dalam menanai serta melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan demi memastikan penduduk negara ini celik dan peka terhadap undang-undang di negara ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI