BRUNEI MUARA, Sabtu 7 Dis 2019 – Operasi Sepadu bagi Sekatan Jalanraya yang disertai oleh beberapa agensi penguatkuasa undang-undang telah dikendalikan di kawasan Brunei Muara pada hari ini.
Operasi Sekatan Jalanraya yang melibatkan beberapa agensi penguatkuasa undang-undang terdiri daripada Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) bersama Daerah Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) serta Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU).

Operasi Sepadu ini diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa JSKLL, Yang Mulia Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ang Lay Bee dan bagi lokasi lain diketuai oleh Pegawai-Pegawai Menguasa Balai Polis.
Diharapkan dengan operasi-operasi yang kerap dijalankan ini akan memberikan panduan dan kesedaran akan kepentingan mematuhi peraturan undang-undang Negara Brunei Darussalam, di samping memohon kepada masyarakat awam agar turut sama memainkan peranan proaktif sebagai mata dan telinga kepada agensi-agensi penguatkuasa dengan menyalurkan maklumat yang berguna dalam matlamat menangani perkara-perkara jenayah hingga peringkat akar umbi demi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.
Dalam pada itu juga, turut diterapkan kepada anggota-anggota bertugas untuk mengamalkan sifat sopan, berhemah dan berdisiplin semasa operasi dijalankan bagi tujuan pendekatan, interaksi dan mewujudkan kepercayaan mesyarakat awam dalam usaha berganding bahu membendung dan mencegah jenayah secara lebih efektif di negara ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
