TUTONG, Isnin 30 Oktober 2023 – Sebanyak 80 buah kenderaan telah dikeluarkan denda Kompaun Trafik di kawasan Jalan Pengasing Pantai Seri Kenangan, Daerah Tutong dalam satu operasi sepadu yang dijalankan pada 29 Oktober 2023.
Operasi berkenaan melibatkan pegawai dan keanggotaan daripada Ibu Pejabat Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dibantu oleh keanggotaan dari Balai Polis Tutong dan diketuai oleh Pegawai Trafik Polis Daerah Tutong.
Secara keseluruhan, operasi tersebut telah memeriksa sebanyak 482 buah kenderaan di kawasan berkenaan. Di antara kesalahan-kesalahan yang didapati adalah kesalahan memasang tabir dan pelekat plastik filem, ubahsuai kenderaan dan beberapa kesalahan lagi. Satu kesalahan dibawah Perintah Eksais juga telah diambil tindakan, iaitu memiliki barangan tegahan kastam iaitu rokok.
PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mendidik para pemandu untuk sentiasa peka dengan kondisi kereta, iaitu sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk dipandu. PPDB mengharapkan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
