BRUNEI MUARA, Khamis 13 Ogos 2020 – Dalam situasi negara yang sedang memasuki pelan-pelan pelaksanaan fasa de-escalation telah memperlihatkan kesesakan di jalan-jalan raya telah kembali seperti lazimnya. Meskipun demikian, penerapan terhadap pematuhan undang-undang terutama sekali peraturan lalulintas jalan raya sentiasa utuh dan akan sentiasa ditekankan kepada para-para pemandu. 

Pihak Berkuasa seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan berusaha dari masa ke semasa mempertingkatkan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasa yang lain dalam memastikan keselamatan di jalan raya terjamin. 

Pada 13 ogos 2020, seramai 27 orang anggota dan ahli serta pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) bersama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah melaksanakan satu (1) operasi sepadu sekatan jalanraya yang dijalankan di kawasan KM 40.1 Lebuhraya Tutong hala ke Muara yang diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa JSKLL, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ang Lay Bee. 

Hasil daripada sekatan telah mendapati; 

JSKLL – 27 kesalahan kompaun melibatkan lesen memandu mansuh, memasang pelekat plastik film atau tabir serta 1 kesalahan doket di bawah Seksyen 3 (1) Motor Vehicle Insurance Act Penggal 90 iaitu kereta tidak dilindungi insuran. 

JPD – sebanyak 20 kenderaan ditahan dan dijalankan pemeriksaan. 11 tindakan kompaun dikenakan atas pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan dan Akta Lalulintas Jalan Raya Penggal 68 seperti kenderaan tidak layak dari segi keselamatan, kenderaan dalam keadaan tidak baik dan membawa lebih daripada muatan. 

Menurut Pegawai Penguatkuasa Kanan, Jabatan Pengangkutan Darat, Yang Mulia Pg Khairul Yusra bin Pg. Hj. Muhd Yusuf, menyatakan yang mana tujuan pihak JPD mengendalikan operasi ini adalah untuk memastikan lesen-lesen memandu dan lesen-lesen kenderaan adalah dalam keadaan sah digunakan di samping meningkatkan keselamatan lalulintas jalanraya. 

Hasil dari siasatan pihak polis juga mendapati kebanyakkan daripada kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada sikap pemanduan yang cuai semasa memandu yang boleh membawa kepada hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu.   

Kecuaian disini juga membawa kepada pemahaman tidak atau pun kurang perhatian yakni lalai sewaktu memandu seperti menggunakan telefon bimbit serta memandu melebihi had kelajuan yang membawa kepada kemalangan yang tidak dapat dielakkan.   

Sementara itu, hasil daripada siasatan daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian juga mendapati dipercayai kesemua mangsa yang terlibat adalah tidak menggunakan tali pinggang keselamatan samaada dari kalangan pemandu mahupun sebagai penumpang. Turut didapati, rata-rata kecederaan yang dialami oleh para mangsa adalah kecederaan parah di bahagian kepala.   

Oleh yang demikian, adalah mustahak dan disarankan kepada para pemandu untuk sentiasa menggunakan tali pinggang keselamatan walaupun dalam kadar perjalanan yang dekat, jika berlaku sebarang insiden kemalangan ianya dapat menghindarkan pemandu serta penumpang daripada tercampak ataupun mengalami kecederaan seperti terhentak ke cermin depan kenderaan, dashboard, roda stereng dan seumpamanya. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI