BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 19 Jun 2019 – Operasi sepadu penguatkuasa undang-undang telah diadakan semalam yang mana terdiri dari keanggotaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Balai Polis Pusat, BSB Bersama Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).
Operasi ini melibatkan seramai 39 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai, Penolong Penguasa Polis Hj Mohd Baihaqi bin Pehin Orang Kaya Maharaja Salia Dato Paduka Hj Mohd Tarif. Tumpuan operasi ialah pemeriksaan ke lokasi bangunan komersial dan kediaman pekerja asing.

Matlamat utama operasi sepadu pada malam tersebut adalah untuk membuat pemeriksaan secara rambang terhadap pekerja-pekerja asing yang bekerja khususnya di Daerah Brunei Muara untuk memastikan para pekerja asing tersebut tidak ada memiliki sebarang barangan tegahan, lebih-lebih lagi barang-barang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
Hasil daripada pemeriksaan di dua buah tempat iaitu;
1) Spg 100-27-25 JalanTungku-Link, Gadong
2) Latifuddin Complex, Jalan Tungku-Link
Pihak PPDB telah membuat 30 “stop/search/talk” dan JIPK membuat pemeriksaan seramai 43 orang warga asing. Tidak ada mendapati sebarang kesalahan.
Operasi tersebut juga adalah usaha berterusan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam sama-sama membanteras jenayah di Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
