LIMAU MANIS, Jumaat 8 Mei 2020 – Kolaborasi yang dijalankan oleh anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui Operasi Sepadu COVID-19 telah berhasil membuat penahanan ke atas seorang individu yang mencurigakan di kawasan Kg Kuala Lurah.
Kejadian berkenaan berlaku pada 8 Mei 2020 sekitar jam 2.45 pagi ketika mana rondaan sedang dijalankan di kawasan Industri, Kg Kuala Lurah lalu ada menemui seorang lelaki (suspek) warganegara Malaysia bernama Faisal bin Roslan berumur 25 tahun bekerja sebagai pekerja buruh.
Hasil daripada pemeriksaan ke atas suspek ada menemukan barangan tegahan yang disimpan di dalam beg galas kepunyaannya iaitu 1 karton rokok jenama Era Biru dan 4 karton rokok jenama Era Hitam.
Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi menjalani siasatan awal dan peralihan siasatan akan diserahkan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Suspek akan seterusnya dibawa bagi menjalani ujian kesihatan (swabbing) dan akan menjalani perintah kuarantin iaitu kuarantin selama 14 hari.
Kejayaan tangkapan tersebut adalah atas usaha kerjasama yang berterusan di antara PPDB dan ABDB dalam rondaan bersepadu di kawasan-kawasan sempadan bagi menyekat sebarang individu dan aktiviti penyeludupan barang tegahan dari memasuki negara ini secara haram dan secara tidak langsung membendung dan mengekang penularan wabak COVID-19 dengan lebih efektif dan berkesan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
