TUTONG, Sabtu, 14 Februari 2026 – Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan dua Operasi Sepadu Sekatan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi di Daerah Tutong melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.
Operasi pertama iaitu operasi sekatan jalan raya, dijalankan pada sebelah pagi di kawasan Kampung Kiudang, Tutong. Operasi tersebut diketuai oleh Pemangku OCS Balai Polis Lamunin, P/Insp Hajah Nurbazilah Hj Abdul Razak bersama 12 anggota.
Turut terlibat ialah pegawai dan anggota daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 21 kesalahan kompaun telah dikeluarkan oleh Balai Polis Lamunin di bawah Akta dan Peraturan Lalulintas Jalan Raya Penggal 68, seperti kesalahan memasang tabir, kesalahan memandu kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatan dan kesalahan mengubah suai kenderaan (silencer).
Dalam operasi yang sama, pihak JKED telah menahan enam individu dan merampas beberapa bungkusan rokok pelbagai jenama serta satu unit vape untuk tindakan lanjut. Pihak BKN tidak mengesan sebarang kesalahan, manakala JPD mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan tayar botak dan kenderaan yang tidak layak dari segi keselamatan.

Seterusnya pada waktu malam, hari yang sama, satu lagi Operasi Sepadu telah dijalankan melibatkan sekatan jalan raya di KM 71.4 Lebuhraya Muara–Tutong, Kampung Bukit Panggal serta pemeriksaan premis di kawasan Kampung Petani, Tutong.
Operasi tersebut diketuai oleh DCO Tutong, ASP Syed Mohd Afidzul Azeez bin Sheikh Haji Abu Bakar bersama 29 pegawai dan anggota Daerah Polis Tutong. Turut serta adalah pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Buruh, Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Biro Kawalan Narkotik serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.
Hasil sekatan jalan raya pada sesi malam mendapati sebanyak 12 kesalahan kompaun dan 4 kesalahan doket, yang melibatkan kesalahan mengubah suai kenderaan (silencer), lesen memandu mansuh serta lesen kenderaan mansuh.

Dalam pemeriksaan premis berkenaan, pihak JKED telah menemui dan menyita sejumlah besar rokok yang dipercayai barang tegahan kastam. Notis penyitaan telah dikeluarkan kepada 15 individu dan diarahkan hadir ke Pejabat JKED Kuala Belait bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Jabatan Buruh turut mengesan beberapa pelanggaran peraturan melibatkan kebajikan dan pengurusan pekerja, termasuk isu kebersihan tempat tinggal, alamat tidak diisytiharkan, ketiadaan kontrak pekerjaan serta kegagalan pemberian cuti rehat dan cuti awam.
Sementara itu, pihak JIPK telah menahan seorang wanita warganegara Thailand kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan bekerja menggunakan pas lawatan.
Sepanjang operasi dijalankan, pihak BPU dan BKN tidak mengesan sebarang kesalahan.



Operasi Sepadu ini mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan undang-undang, keselamatan awam serta membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa bagi mengelakkan tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNE
