Dua Operasi Sepadu Penguatkuasa Undang-undang telah dilaksanakan pada 21 dan 22 Disember 2019 yang diadakan di Daerah Belait dan Daerah Temburong. 

Bagi Daerah Belait, operasi sepadu dikendalikan di kawasan Sg Liang yang terdiri dari keanggotaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Balai Polis Sungai Liang dan Balai Polis Labi, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU).  

Operasi ini melibatkan seramai 43 orang pegawai dan anggota yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, Ketua Inspektor (Snr Insp) Haji Rabi’ul Shukreen bin Abdullah. 

Operasi tertumpu di beberapa lokasi kediaman serta pemeriksaan ke rumah-rumah pekerja asing iaitu; 

1- Rumah Pekerja Asing di kawasan Jalan Pantai Sungai Liang telah mendapati satu kesalahan di bawah Akta Kastam – 1 (146)(1)(d) Perintah Eksais 2006. 

2- Rumah Pekerja Asing Kilang Papan, Jalan Tenajor Labi Ulu Belait telah mendapati satu kesalahan di bawah Akta JIPK dan telah menahan seorang pekerja asing yang didapati gagal menunjukkan dokumen yang sah. 

Manakala operasi yang dikendalikan di Daerah Temburong menumpukan di kawasan ‘Custom Immigration Quarantine Security’ (CIQS) Ujung Jalan yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Temburong, Inspektor Muhammad Ajib bin Haji Ahmad Awal bersama 35 orang pegawai dan anggota daripada agensi penguatkuasa undang-undang di Daerah Temburong. 

Hasil daripada operasi tersebut beberapa kesalahan dikenal pasti dan diambil tindakan seperti kesalahan pemasangan cermin gelap dan tidak mempunyai lesen memandu yang sah. 

Tidak dinafikan lagi, operasi-operasi sedemikian akan kerap dijalankan oleh pihak penguatkuasa bagi memastikan tidak ada sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan juga bagi memastikan tidak ada barang tegahan cuba dibawa masuk ke dalam negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​