TEMBURONG, Khamis 7 Mei 2020 – Operasi Sepadu melibatkan 7 agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini telah dikendalikan di Daerah Temburong pada 7 Mei 2020 sekitar lewat malam. 

Seramai 63 orang pegawai dan ahli penguatkuasa telah terlibat sama di dalam operasi tersebut yang telah diketuai oleh Pegawai Siasatan Jenayah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Lim Hock Siong. 

Tujuh (7 ) agensi-agensi yang terlibat adalah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN). 

Menerusi Operasi tersebut sebanyak 3 lokasi sasaran telah dibuat pemeriksaan iaitu dua (2) lokasi bertempat di kawasan kediaman di Pekan Bangar dan Kg Seri Tanjung Belayang manakala lokasi seterusnya sebuah rumah pekerja di Kg Sungai Sulok. 

Hasil daripada operasi sepadu tersebut telah berjaya mengesan seorang warga Bangladesh bernama Korshed Alam yang dipercayai lari dari majikan. 

Di samping itu, 2 orang lelaki warga asing bernama Muppudathi Sankaran telah didapati memiliki barang tegahan iaitu 7 paket rokok jenama ERA Premium serta penama Farhad Khan didapati memiliki 4 paket rokok jenama ERA Premium.  

Dalam pada itu, turut ditemui ialah beberapa paket rokok yang tidak diketahui pemiliknya. Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke JIPK dan JKED bagi tindakan selanjutnya. 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa teguh terhadap penekanan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI