BRUNEI MUARA, Jumaat 3 April 2020 – Dalam situasi negara berusaha mengekang dan mengawal penularan wabak COVID-19 ini, Pasukan barisan hadapan terutama sekali pihak keselamatan dan penguatkuasaan sentiasa utuh dan tidak kendur-kendur dalam menjalankan tugasan teras bagi mengawal dan memastikan undang-undang sentiasa ditanai dan dipatuhi sepenuhnya.
Penguatkuasan itu terbukti bila mana satu operasi sepadu yang diketuai oleh Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) membuahkan hasil dengan membuat penahanan ke atas dua (2) buah perahu yang mencurigakan di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.
Semasa penahanan perahu-perahu tersebut telah ditemukan sejumlah bungkusan guni yang dipercayai berisi barangan-barangan kiriman ataupun ‘parcel’ daripada negara jiran yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
Pemandu dan juga penumpang dua (2) perahu tersebut melibatkan tiga orang lelaki warga tempatan iaitu Mohd Yusran bin Mohd Yusra berumur 21 tahun bersama Mohd Afif bin Ramli berumur 19 tahun manakala sebuah lagi perahu dipandu oleh Matahir bin Hj Hidup berumur 31 tahun.
Siasatan kes ditangani sepenuhnya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan akan disiasat di bawah Seksyen 140 Perintah Kastam 2006 iaitu menyeludup barang-barang tanpa deklarasi.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
