KUALA BELAIT, Rabu 27 Mac 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengendalikan beberapa Operasi Sekatan Jalanraya yang dijalankan di seluruh daerah bertujuan bagi matlamat pencegahan jenayah.
Operasi sekatan yang dinamakan ‘Operasi Cegah’ telah melibatkan beberapa bahagian di dalam pasukan yang terdiri daripada Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Ibu Pejabat Daerah Polis Belait dan Balai Polis Kuala Belait.
Sebanyak dua (2) lokasi telah dijalankan operasi iaitu di kawasan Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam, Inland Container Depot Sungai Tujoh dan Kawasan Lebuhraya Seria By Pass Hala ke Mumong.
Operasi ini diketuai oleh Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ang Lay Bee, Pemangku Ketua Bahagian Operasi dan Penguatkuasaan JSKLL beserta 32 orang keanggotaan.
Hasil daripada sekatan yang dijalankan telah mengeluarkan sebanyak 63 kes kompoun yang juga melibatkan kes memandu melebihi had laju.

TUTONG – Operasi turut dikendalikan oleh keanggotaan Daerah Polis Tutong bersama JSKLL. Operasi menumpukan di kawasan bawah Jambatan Lebuhraya Bukit Beruang Tutong.
Seramai 29 keanggotaan dikerahkan bagi mengendalikannya dan hasil daripada operasi mendapati sebanyak 34 kesalahan kompoun dikeluarkan kepada para pemandu atas beberapa kesalahan yang antara lain melibatkan lesen memandu mansuh, ubah suai kenderaan, memasang pelekat plastik filem (tinted) dan beberapa kesalahan lain lagi.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalanraya akan sentiasa patuh dan mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di negara ini.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
