TUTONG, Khamis 1 Ogos 2019 – Satu operasi sekatan jalanraya telah dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan lebuhraya.
Sekatan jalanraya yang bermula pada jam 8.45 pagi tersebut telah melibatkan seramai 24 keanggotaan daripada Balai Polis Daerah Tutong yang diketuai oleh Inspektor Polis Percubaan (P/Insp) Ak Muhammad Waie @ Ak Fathurrahman bin Pg Abdullah.
Semasa operasi dibuat beberapa kenderaan telah pun dijalankan pemeriksaan beserta pendekatan melalui konsep ‘Stop & Search’ dan ‘Stop & Talk’ bagi tujuan interaksi, mewujudkan kepercayaan, menjalinkan persahabatan yang tulus di kalangan masyarakat awam dan pihak Polis.
Operasi yang berjalan selama 2 jam itu telah mendapati beberapa kesalahan di bawah Akta Lalulintas, sebanyak 34 kesalahan kompaun telah dicatit melibatkan kesalahan seperti cukai jalan mansuh, lesen memandu mansuh, tidak menampal cukai jalan, mengubah suai kenderaan beserta beberapa kesalahan lain. Dalam pada itu, dua (2) kesalahan doket dilaporkan yang melibatkan kenderaan tidak dilindungi insuran.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khususnya Balai-balai Polis Daerah akan sentiasa berterusan mengadakan operasi seperti ini bagi memastikan pelanggaran undang-undang negara sentiasa ditangani dan dibanteras dengan sebaiknya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
