TUTONG, Khamis 20 Ogos – Satu operasi sepadu sekatan jalan raya penguatkuasa undang-undang telah dijalankan di kawasan Lebuhraya Tutong Telisai, Jambatan Kg Bukit Beruang Tutong.
Operasi Sekatan yang dikendalikan pada petang khamis 20 Ogos itu melibatkan seramai 81 orang pegawai, anggota serta ahli daripada berbagai agensi penguatkuasa yang terdiri daripada keanggotaan Daerah Polis Tutong Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Mengetuai operasi ialah Pemangku Pegawai Siasatan Lalulintas Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Shamsul Ariffin bin Haji Abd Wahab.

Objektif operasi adalah bagi menguatkuasakan peruntukan perundangan yang telah dikuatkuasakan kepada pihak-pihak berwajib dengan menjalankan pemeriksaan rambang terhadap para pemandu serta kenderaan yang dimiliki dalam memastikan tiada pelanggaran sebarang akta yang menjurus kepada kesalahan lalulintas mahupun berkaitan dengan bidang kuasa pihak penguatkuasa yang lain seperti membawa barang-barang tegahan, penemuan yang berkaitan dengan dadah ataupun barangan yang digunakan dipercayai untuk melakukan sebarang jenayah.
Menerusi pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan sejumlah kesalahan lalulintas di mana sebanyak 24 kesalahan kompaun telah dikeluarkan beserta satu (1) kesalahan doket. Antara lain kesalahan yang didapati ialah pengubahsuaian kenderaan, cukai jalan mansuh, lesen memandu mansuh, tayar kenderaan yang tidak layak digunakan (keluar benang) dan beberapa kesalahan lagi.
Operasi sedemikian akan sentiasa diteruskan bagi memastikan elemen-elemen yang berbaur jenayah ataupun yang berkaitan dengannya akan sentiasa dibendung, dibanteras dan diambil tindakan dengan sewajarnya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
