TEMBURONG, Sabtu, 21 Disember 2024 – Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya mencegah satu aktiviti penyeludupan dan pemunggahan barang tegahan semasa menjalankan satu operasi di sebuah Kampung di Daerah Temburong. 

Semasa operasi berkenaan, Pasukan Polis Hutan (POLTAN) telah mengesan sebuah perahu yang mencurigakan di tepi tebing dan mendapati seorang lelaki yang sedang mengangkat dan memunggah barang-barang dalam beg plastik besar, dipercayai mengandungi barang tegahan yang diseludup dari negara jiran melalui sungai. 

Suspek tersebut terus bertindak terjun ke sungai dan melarikan diri ke sempadan negara jiran. Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan dikawasan tersebut, plastik-plastik yang sama juga dijumpai di sebuah rumah kosong yang berdekatan dengan tebing tempat perahu berlabuh. 

Operasi tersebut berjaya menghasilkan perampasan sebanyak 2 kotak besar yang mengandungi daging dan 12 plastik besar yang mengandungi ayam serta perahu yang telah digunakan semasa penyeludupan berkenaan. Kes ini dilaporkan ke Balai Polis Bangar dan kes diserahkan ke pihak Jabatan Kastam & Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama jitu dalam perkongsian maklumat bagi pembanterasan segala kegiatan-kegiatan yang menyalahi undangundang didalam Negara Brunei Darussalam, mahupun di kawasan-kawasan sempadan nya. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

 PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS