BRUNEI MUARA, Jumaat 8 Disember 2023 – Pada 8hb Disember 2023, Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi pencegahan jenayah rentas sempadan hutan di kawasan perhutanan Daerah Brunei Muara berhampiran sempadan Brunei – Malaysia. 

Pada waktu sekitar malam, pasukan Polis Hutan telah berjaya mengesan beberapa orang individu merentas kawasan perhutanan melalui jalan tikus di sempadan Brunei – Malaysia dengan beberapa kotak besar dipercayai barang tegahan. 

Pasukan Polis Hutan telah bertindak untuk menyerbu kumpulan individu tersebut tetapi suspek – suspek telah meninggalkan barang – barang tegahan dan melarikan diri ke sempadan negara jiran. 

Hasil operasi telah berjaya menahan sebanyak 1,650 katon rokok pelbagai jenis yang dilaporkan ke Balai Polis yang berhampiran untuk penyerahan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei bagi tindakan selanjutnya. 

PPDB beserta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain tidak akan ragu-ragu dalam menjalankan amanah dan tugas dalam menegakkan undang-undang negara, dan akan sentiasa komited dalam usaha untuk membanteras sebarang kegiatan-kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan-kawasan sempadan Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​