TEMBURONG, Jumaat 14 Jun 2024 – Pasukan Polis Simpanan ‘C’ Kompeni (Polis Hutan) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi pencegahan jenayah di satu kawasan sempadan Daerah Temburong yang dipercayai terdapat aktiviti – aktiviti penyeludupan dan pemunggahan barang tegahan. 

Pada waktu subuh, pasukan Polis Hutan telah membuat serbuan setelah mengesan sebuah perahu berukuran dalam lingkungan 15 kaki yang mengandungi beberapa kotak besar yang dipercayai mengandungi barang tegahan yang diseludup dari negara jiran melalui sungai. 

Semasa serbuan dibuat, anggota-anggota Polis Hutan telah berjaya menahan seorang suspek bersama kotak – kotak tersebut di atas. Manakala, 3 orang lagi suspek dipercayai telah terjun ke sungai untuk melarikan diri. 

Operasi tersebut telah berjaya menghasilkan penahanan seorang suspek warganegara tempatan, barang tegahan yang terdiri daripada 240 tin serta 300 botol minuman keras pelbagai jenis, 1,360 paket rokok pelbagai jenis, serta kenderaan-kenderaan yang digunakan semasa penyeludupan berkenaan. Kes ini dilaporkan ke Balai Polis Bangar dan kes diserahkan ke pihak Jabatan Kastam & Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya. 

PPDB serta agensi penguatkuasa yang lain juga ingin menasihatkan kepada orang ramai akan sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama jitu dalam perkongsian maklumat bagi pembanterasan segala kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang di dalam Negara Brunei Darussalam, mahupun di kawasan-kawasan sempadannya.

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​