GADONG, 18 Disember 2024 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah giat menjalankan operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei (JKED) di beberapa tempat bagi mematahkan kegiatan yang menyalahi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Pada 16 Disember, kira-kira jam 3.15 petang, beberapa orang pegawai dan anggota daripada Daerah Polis Belait yang diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait dan pegawai dan anggota JKED cawangan Kuala Belait telah memeriksa sebuah rumah bertempat di RPN Panaga. hasil daripada pemeriksaan, didapati seorang lelaki tempatan. memiliki barang tegahan berupa 5 karton rokok dipercayai untuk dijual.
Sementara itu, pada 17 Disember, satu lagi operasi pencegahan dan pemantauan jenayah dijalankan oleh Balai Polis Temburong bagi mengesan kegiatan jenayah. Pemantauan dijalankan di kawasan Bangunan Dermaga, Pekan Bangar. Berikutan makluman yang diterima, suspek merupakan seorang lelaki tempatan, bukan sahaja menjual sayur-sayuran namun dipercayai menjual barang tegahan. Sebanyak 18 kotak rokok telah berjaya dirampas semasa pemeriksaan tersebut.
Kesemua barang-barang tegahan telah diserahkan ke pihak JKED untuk tindakan selanjutnya.
PPDB menyarankan jika mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah dan yang menyalahi undang-undang di negara ini, dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat segera ke Balai Polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
