BELAIT, Ahad 16 Oktober 2023 – Satu serbuan telah dijalankan oleh keanggotaan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Belait pada petang 15 Oktober 2023.
Serbuan di sebuah alamat di Jalan Maulana Kuala Belait menahan seramai 17 orang dipercayai kaki judi dan melibatkan permainan perjudian jenis Pei Gow. 13 orang di antaranya ialah penduduk tetap, 2 orang warga tempatan, manakala 2 orang daripadanya ialah warga asing.
Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Panaga Daerah Polis Belait bagi dijalankan siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.
Perjudian adalah satu kegiatan jenayah di negara ini di mana ianya hanya membawa kerugian kepada seseorang individu, keluarga dan masyarakat. Justeru itu orang ramai adalah digalakkan untuk menghindari dari terlibat dalam kegiatan judi dan menyeru agar berusaha dengan cara yang tidak menyalahi undang-undang, untuk mendapatkan hasil dan tidak bergantung kepada nasib dengan berjudi.
Oleh itu, PPDB juga akan berterusan membuat pemantauan serta risikan mengenai apa jua kegiatan-kegiatan jenayah dan PPDB ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
