BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 15 Ogos 2019 – Kegiatan tidak bermoral telah terbongkar dalam satu operasi serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Dalam serbuan tersebut, seorang wanita warganegara tempatan bernama Elisa Preshilawati binti Dato Haji Md Juned, 37 tahun telah berjaya ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan yang tidak bermoral dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan sejumlah bayaran. Suspek berkenaan menjalankan kegiatan tersebut di salah sebuah bilik penginapan kawasan Gadong. 

Turut ditemui oleh Pihak Polis semasa serbuan tersebut beberapa barang bukti seperti wang tunai hasil daripada bayaran dari pelanggan dan sejumlah kepingan kondom yang disembunyikan oleh suspek. Siasatan awal juga mendapati suspek mula menginap di hotel tersebut sejak bulan Mei 2019. 

Juga turut ditahan bagi menjalani siasatan ialah seorang lelaki yang dipercayai ada penglibatan dengan kegiatan berkenaan. 

Suspek kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bersama barang bukti untuk dijalankan siasatan lanjut. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa hukuman denda tidak kurang $500 dan tidak melebihi $5000 dan juga penjara yang boleh mencapai tempoh satu tahun.  

Pihak polis juga tidak akan bertolak ansur dalam membasmi kegiatan berunsur maksiat dan jika didapati terlibat, maka tindakan tegas akan dijalankan ke atas yang sesiapa sahaja yang menawarkan khidmat tersebut dan juga pelanggan berkenaan.  

Oleh yang demikian, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyarankan kepada masyarakat awam agar tidak terjerumus dengan sebarang kegiatan yang tidak bermoral ini kerana negara ini tidak pernah sekali-kali membenarkan unsur-unsur negatif sedemikian yang bertujuan untuk merosakkan sendi-sendi keharmonian masyarakat ini bertapak di Negara Brunei Darussalam. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI