Tutong, Rabu, 7 Januari 2026– Daerah Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu Operasi Sepadu bersama beberapa agensi penguatkuasaan di sebuah kediaman di Kampung Ukong, Daerah Tutong.

Operasi tersebut melibatkan seramai 25 orang anggota dan diketuai oleh Pegawai Jenayah Daerah Polis Tutong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Ahmad Faez bin Haji Mohd Hani, dengan penyertaan daripada Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta dibantu oleh Jabatan Perisikan Jenayah.

Hasil dari operasi tersebut, pihak JKED telah merampas barang-barang tegahan iaitu 69 karton dan 12 paket rokok pelbagai jenama serta 1 vape. Kesemua barang berkenaan telah dikeluarkan Notis Penyitaan dan dua individu, masing-masing seorang warganegara tempatan dan seorang tidak berkewarganegaraan, diarahkan hadir ke Unit Siasatan JKED Kuala Belait bagi siasatan lanjut.

Selain itu, pihak Jabatan Daerah Tutong telah mengesan kesalahan berkaitan kebersihan persekitaran, manakala JUZWAB Tutong turut mengenal pasti beberapa pelanggaran syarat rumah sewa serta aktiviti yang menjejaskan keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat.

Operasi Sepadu ini dilaksanakan sebagai usaha berterusan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan undang-undang, keselamatan awam dan kesejahteraan masyarakat.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI