TEMBURONG, Isnin 9 Disember 2024 – Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi Pencegahan dan Pemantauan Jenayah berdasarkan maklumat perisikan di kawasan Daerah Temburong yang dipercayai digunakan sebagai tempat penjualan barang tegahan.

Pada waktu pagi, Pegawai dan Anggota Balai Polis Temburong telah berjaya mengesan tempat beberapa jumlah katon rokok pelbagai jenis disimpan disebuah kawasan pondok penjualan makanan dan dipercayai digunakan sebagai tempat penjualan rokok-rokok yang diseludup.

Pihak Polis telah bertindak untuk membuat pemeriksaan di kawasan tersebut dan berjaya menahan seorang wargaemas tempatan bersama kotak-kotak rokok yang disembunyikan dikawasan tersebut.

Hasil operasi tersebut, seorang warganegara tempatan disyaki terlibat dengan aktiviti penjualan rokok-rokok tersebut, dan 265 kotak rokok pelbagai jenis yang dipercayai diseledup dari negara jiran. Kes ini dilaporkan di Balai Polis Bangar untuk penyerahan siasatan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei bagi tindakan selanjutnya.

Pihak PPDB ingin mengingatkan orang ramai agar jangan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang negara yang hanya mendatangkan kerugian pada diri sendiri dan keluarga. PPDB akan sentiasa bergiat aktif dalam usaha pembanterasan dan pengekangan terhadap kegiatan-kegiatan penyeludupan dan penjualan barangan tegahan di negara ini.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI