GADONG, Jumaat 12 Julai 2019 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-73 Tahun, pihak Polis ingin mengingatkan kepada orang ramai untuk sentiasa berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga ke atas diri, keluarga dan harta benda mereka di sepanjang musim perayaan ini.   

Dalam pada itu, dikongsikan langkah-langkah keselamatan ketika hendak meninggalkan rumah kediaman.   

1- Memastikan pintu dan tingkap dikunci rapat. 

2- Memasang selak pintu dan tingkap dan pastikan ianya berfungsi dengan baik. 

3- Memasang alat penggera dan kamera litar tertutup (CCTV). 

4- Memastikan membawa bersama barangan berharga dan juga dokumen-dokumen penting. 

5- Memaklumkan pihak Polis dan jiran jika meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang lama. 

6- Simpan nombor-nombor penting seperti talian-talian kecemasan dan nombor jiran tetangga. 

7- Pastikan kawasan sekitar sebelum meninggalkan rumah, mungkin sahaja pergerakan tuan rumah sedang diperhatikan. 

8- Jangan meninggalkan sebarang petunjuk rumah tidak ada berpenghuni kerana ianya boleh mengundang penjenayah.

9- Jangan biarkan rumah dalam keadaan gelap. 

10- Jangan meninggalkan barangan berharga di dalam kereta semasa meninggalkan kenderaan di kawasan perayaan di mana ianya boleh menarik perhatian si penjenayah untuk melakukan perkara yang tidak diingini seperti memecah cermin kereta dan mengambil barang tersebut. 

Di samping itu, pihak Polis juga menjelaskan bahawa jika terdapat perkara-perkara yang mencurigakan yang berbaur jenayah untuk segera menghubungi pihak Polis di talian kecemasan 993 atau datang ke Balai-Balai Polis berhampiran untuk tindakan segera. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI