GADONG, Sabtu 24 November 2018 – Seramai 13 orang rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telah mengadakan sesi muzakarah ke Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang berlangsung di Mes Pegawai PPDB, Gadong petang tadi.

Sesi Muzakarah tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam.

Manakala rombongan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.
Sesi Muzakarah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya ucapan alu-aluan serta taklimat yang di sampaikan oleh Yang Mulia Dato Pesuruhjaya Polis PPDB.
Turut hadir sama bagi menyampaikan taklimat ialah Pemangku Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Yang Mulia Awg Haji Jaffari bin Haji Mahadi.
Antara lain intipati taklimat adalah menjurus kepada perkongsian mengenai peranan pasukan didalam dan luar negara, statistik jenayah dan lalulintas serta perancangan hala tuju dalam memperkasa dan keupayaan pasukan ke arah menjayakan Wawasan negara 2035.
Disamping itu, Sesi Muzakarah ini juga diselitkan dengan sesi soal-jawab dimana perbincangan secara terbuka ini bertujuan bagi perkongsian idea, pandangan, cadangan serta hasrat dalam bersama menggarap kepentingan, nilai faedah untuk dijadikan wacana yang bermanfaat bagi kemajuan dan juga perkembangan Pasukan Polis Diraja Brunei di masa akan datang.
Perjumpaan ini juga mencerminkan persefahaman yang wujud, permuafakatan yang terjalin serta hubungan kerjasama yang mantap antara pihak kerajaan dan wakil masyarakat iaitu Ahli MMN.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
