BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 28 Mac 2020 – Tertuduh yang telah memuat naik status video di Instagram yang mengandungi unsur-unsur negatif terhadap pengawalan wabak COVID-19 di negara ini telah dibicarakan di Mahkamah Majistret pada hari ini 28 Mac 2020. 

Tertuduh bernama Mohammad Norhadzrin bin Mohammad Jamain telah mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan dan pengakuan diambil bagi kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Kecil Penggal 30 iaitu kesalahan perkataan yang tidak senonoh atau kata kesat dan sebagainya. 

Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh iaitu denda sebanyak $450 dan denda tersebut telah dibayar. 

PPDB ingin mengingatkan sekali lagi kepada orang ramai bahawa tindakan undangundang akan dijalankan bagi sesiapa yang memperlekehkan atau mencemuh sebarang perintah atau arahan kerajaan yang telah dikeluarkan dalam suasana negara berusaha untuk mengawal penularan wabak COVID-19. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​