LIMAU MANIS, Selasa 15 Oktober 2019 – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan dua (2) orang lelaki warga tempatan semasa menjalankan rondaan rutin di kawasan ladang padi Kg Bebuloh, Limau Manis. 

Hasil pemeriksaan terhadap dua (2) orang lelaki bernama Md Sabree bin Abdullah Tubah, 57 tahun dan Md Faizal bin Jamal, 31 tahun telah dipercayai membawa bungkusan plastik yang mencurigakan berisi beberapa botol minuman keras sebanyak 27 botol berjenama ‘The Famous Grouse’, beberapa karton rokok pelbagai jenis iaitu 2 karton Era Menthol, 2 karton Era Premium, 2 karton Extreme Mild dan 1 karton Era Full Flavor ke dalam Negara Brunei Darussalam secara tidak sah.  

Bungkusan plastik tersebut dijumpai di dalam kereta milik suspek jenis Suzuki Alto bewarna Putih. 

Kedua-dua suspek, barang rampasan serta kenderaan dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan lanjut. Kes ini akan disiasat di bawah Akta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. 

PPDB ingin menyeru kepada orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. 

PPDB juga akan sentiasa komited dan berusaha dalam membuat pemantauan, pengesanan dan risikan secara berterusan di persekitaran sempadan bagi membanteras kemasukan barang tegahan serta membuat penahanan terhadap sebarang individu-individu yang cuba untuk melakukan jenayah di negara ini.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI