BERAKAS, Isnin 2 Mac 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) khasnya Balai Polis Berakas telah menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan kes memiliki barang curi. 

Pada 16 Februari 2020, Pihak Polis telah menerima laporan aduan kehilangan barang dipercayai dicuri iaitu 4 rim sport dan 1 unit water jet yang berlaku di luar kawasan rumah kediaman di Jalan Pasir Berakas. 

Hasil siasatan pihak polis telah mendapati suspek telah membeli 1 unit water jet daripada seorang lelaki yang dipercayai dalang kepada kejadian perlakuan curi di kawasan Jalan Pasir Berakas. Walau bagimanapun, suspek memang mengetahui barangan tersebut adalah sumber barang curi dan memang berhasrat untuk menjualnya kembali kepada pembeli yang lain untuk meraih keuntungan yang tinggi. 

Suspek bernama Mohammad Hanafi bin Hj Bagol berumur 37 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini bagi pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan membantu menyembunyikan harta curi. Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 8 bulan bermula 2 Mac 2020 di Penjara Maraburong. 

PPDB ingin mengingatkan dan menegaskan kepada orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan dengan sengaja bersubahat atau terlibat sama dalam menyembunyikan harta atau barangan hasil daripada perbuatan curi.  

Pihak Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas dan sewajarnya serta menghadapkan ke muka pengadilan mana-mana individu yang didapati cuba atau melakukan perbuatan sedemikian. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​