Isnin, 19 Ogos 2019 – Era Globalisasi merangsang kehidupan yang lebih mencabar bukan sahaja menyentuh bidang teknologi serta penjanaan ekonomi bahkan kepentingan keselamatan amat dititikberatkan dalam pembangunan sesebuah negara. 

Peranan masyarakat merupakan tonggak utama bagi merealisasikan hasrat tersebut, melalui perpaduan yang dibina bersendikan hati yang satu serta rangkaian kerjasama dan keprihatinan sesebuah komuniti masyarakat seperti Pengawasan Kejiranan (PK) boleh membantu dalam menjana kehidupan yang aman lagi harmoni. 

Sehubungan itu, beberapa kampung di negara ini telah giat mengikuti aktiviti di bawah Program PK anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang menjurus kepada rondaan pencegahan jenayah. 

BELAIT – PK Kg Lumut dan Lumut 1, PK Kg Sg Liang, PK Kg Merangking, PK Bukit Sawat, PK RPN Kg Panaga, PK STKRJ Lorong 3 Seria serta PK Kg Mumong telah menjalankan rondaan bersama keanggotaan balai-balai Polis yang dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai Polis di bawah tadahan masing-masing. 

MUARA – Beberapa ahli PK Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg Meragang turut memberikan kerjasama secara sukarela membuat rondaan pencegahan bersama keanggotaan Balai Polis Muara. 

Rondaan menumpukan di kawasan Jalan Kemangsi Selatan, Jalan Kemangsi Barat sehingga ke Pantai Meragang. 

Aktiviti-aktiviti rondaan berkenaan dikendalikan pada waktu siang dan malam tanpa menemukan sebarang kegiatan yang mencurigakan serta berbaur jenayah. 

Usaha praktikal yang berorentasikan komuniti ini diharap akan membantu sepenuhnya dalam menangani dan membanteras apa jua kegiatan negatif dan melanggar undang-undang di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI