BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa 9 April – Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan dari talian kecemasan 993 pada 7 April 2019 sekitar jam 10.25 pagi berkenaan kejadian pertengkaran mulut melibatkan beberapa individu yang berlaku di kawasan Jalan Pemancha, Bandar Seri Begawan.
Dalam pada itu, beberapa rakaman video turut tular dan tersebar di media sosial memaparkan seorang warga asing menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai yang sedang berkunjung pada acara Bandarku Ceria pada hari tersebut.
Berikutan kejadian tersebut, keanggotaan Balai Polis Pusat, BSB telah menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki warganegara China bernama Xiao dong Han berumur 37 tahun yang bekerja di bahagian ‘International Chamber of Commerce (ICC) Base Administrator Shanghai, British Airways yang sedang dalam percutian di Negara Brunei Darussalam.
Suspek dijalankan siasatan dan akan menghadapi 2 pertuduhan di bawah Seksyen 351 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu serangan dan di bawah Seksyen 29 Akta Lalulintas Penggal 68 iaitu cuai memandu.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 09 April 2019 dan Pihak Mahkamah telah membenarkan permohonan reman bagi menjalankan siasatan lanjut di Balai Polis Pusat sehingga sebutan kes selanjutnya pada 16 April 2019.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
