BRUNEI MUARA, Khamis 17 Sept 2020 – Di samping usaha meningkatkan penguatkuasaan terhadap akta kesalahan lalulintas. Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga berperanan dalam menegakkan dan menjalankan undang-undang yang berkaitan dengan sebarang perlakuan jenayah. 

Sehubungan dengan itu, satu sekatan jalanraya telah dijalankan di kawasan Jalan Gadong dan berhasil membuat penahanan ke atas seorang pemandu lelaki berumur 27 tahun dan seorang penumpang wanita berumur 37 tahun yang telah melarikan diri semasa sekatan jalanraya dikendalikan. 

Hasil daripada pemeriksaan ke atas pemandu berkenaan telah menemukan barangan tegahan dipercayai peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah. 

Berikutan dengan penahanan dan penemuan tersebut, pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah dihubungi dan peralihan siasatan diserahkan kepada pihak BKN bagi tindakan selanjutnya. 

Operasi sekatan sedemikian akan sentiasa dijalankan dan dipertingkatkan dalam memberikan kesedaran akan kepentingan pematuhan undang-undang di negara ini yang berkaitan akta lalulintas ataupun pelanggaran akta-akta kesalahan jenayah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI