Khamis, 25 Julai 2019 – Hidup berjiran merupakan solidariti berkesan dalam pembentukan hubungan harmoni selain membina tali persaudaraan yang utuh sesama insan. Justeru, hubungan kejiranan adalah penting kerana ia melibatkan kerjasama dalam segala aspek khususnya aspek keselamatan setempat.
Menyedari akan kepentingannya, maka satu gabungan dinamakan ‘Pengawasan Kejiranan’ (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diwujudkan bagi setiap kampung dalam objektif utama ‘Bersama Masyarakat Cegah Jenayah’.
TEMBURONG – Beberapa kawasan kampung telah dijalankan pemantauan serta rondaan oleh keanggotaan Balai Polis Bangar bersama ahli-ahli PK Kg Puni dan Ujong Jalan, Daerah Temburong.
Mengetuai rondaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj bersama Penghulu Mukim Bangar, Yang Mulia Haji Abdul Rahman bin Merusin.
Hasil rondaan pencegahan yang dijalankan di kawasan tempat penurunan feri/perahu, rumah-rumah kosong, persekitaran jambatan persahabatan Brunei & Malaysia tidak ada menemukan sebarang kegiatan yang mencurigakan.
LIMAU MANIS – Rondaan pencegahan diteruskan lagi bersama PK Kg Junjongan, Limau Manis. Hadir bagi mengetuai rondaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasil bersama Pemangku Ketua Kg Junjongan, Yang Mulia Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang.
Sebelum rondaan, taklimat keselamatan diberigakan dan tumpuan rondaan adalah di kawasan kebun-kebun milik penduduk kampung. Antara lain rondaan dibuat di kawasan berkenaan adalah bagi membuat pemantauan dan pencegahan daripada kegiatan-kegiatan yang negatif dilakukan di dalam kawasan kebun.
LABI – Rondaan gandingan keanggotaan Balai Polis Labi dan PK Kg Labi juga diaktifkan di mana tumpuan adalah di kawasan rumah-rumah kediaman. Rondaaan dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Polis Percubaan Janatun Na’em bin Haji Abdul Rahim.
LAMUNIN – Sokongan dan kerjasama yang padu diberikan oleh PK Kg Padnunok dalam sama-sama menjaga keselamatan kampung. Ini terbukti dengan penglibatan Ketua Kg sendiri iaitu Pemangku Ketua Kg, Yang Mulia Awang Haji Rosli bin Abu Bakar bersama anak kampung dalam sama-sama turun padang bagi menyertai rondaan pencegahan.
Rondaan sedemikian akan terus dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk bersama berganding bahu dalam menangani kegiatan yang melanggar undang-undang di negara ini.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT URUS SETIA PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
