GADONG, Sabtu 28 Disember 2024 – Acara Malam Munajat, anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-166 (Khas Untuk Wanita Ke-20) dengan kerjasama Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah diadakan pada hari Sabtu 26 Jamadilakhir 1446H bersamaan 28 Disember 2024M di Rumah PEKERTI Ibu Pejabat Polis Gadong, yang dikendalikan oleh Didikan PEKERTI.
Hadir selaku tetamu kehormat acara ialah Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong isteri Pemangku Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) selaku Pengerusi PEKERTI. Turut hadir pada acara tersebut ialah Yang Mulia Hajah Annisah binti Haji Bahar selaku Pengerusi Didikan PEKERTI bersama ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI.
Acara Malam Munajat ini diadakan dalam bentuk fizikal dan siaran langsung secara maya yang juga dialu-alukan orang ramai untuk ikut serta. Acara ini dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, dipimpin oleh tetamu kehormat PEKERTI secara beramai-ramai seterusnya disusuli dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Norliza binti Abdul Jalil, Ahli PEKERTI.
Acara ini diikuti dengan bacaan Doa Munajat oleh Yang Mulia Datin Hajah Umiyati binti Haji Mohd Noor, Pegawai Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syi’ar Islam, KHEU dari Masjid Ash-Shaliheen. Setelah itu disambung dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurhuwaina binti Mamud, Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Da’wah Daerah Tutong, Pusat Da’wah Islamiah, KHEU melalui layar Safari Dakwah dari Kampong Long Mayan Daerah Tutong. Kemudian diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Penguasa Polis Hajah Mariyani binti Haji Abdul Wahab selaku Timbalan Pengerusi PEKERTI. Akhir sekali acara ini ditutup dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Dayang Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini, Pemangku Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
