BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 20 Nov 2019 – Satu maklumat kejadian ancaman menggunakan sebilah pisau telah tular di media sosial melibatkan seorang mangsa perempuan semasa beliau sedang menunaikan solat maghrib yang dipercayai berlaku di dalam sebuah Surau di premis perniagaan di kawasan Batu Satu Bandar Seri Begawan (BSB). 

Berikutan dengan maklumat tular ini, Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan telah menerima laporannya pada 17 November 2019 yang lalu di mana kejadian tersebut berlaku di bilik sembahyang Bangunan Athirah, Tingkat 2 Batu Satu, BSB.  

Turut dijelaskan di mana mangsa hanya mengalami kesan lebam di bahagian leher akibat dipegang oleh suspek semasa pergelutan berlaku dan bukan sepertimana maklumat kecederaan yang telah ditularkan di media sosial. 

Hasil siasatan yang dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Pusat telah berhasil membuat penahanan ke atas seorang suspek lelaki bernama Abdul Rashid bin Simad berumur 27 tahun warga tempatan dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai dalang kepada kejadian tersebut. 

Suspek akan dijalankan siasatan dan akan dihadapkan ke muka pengadilan bagi menghadapi pertuduhan serta hukuman yang setimpal di bawah Seksyen 394 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu Dengan senghaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan dan di bawah Seksyen 29 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 iaitu membawa senjata merbahaya di tempat awam. 

PPDB menegaskan kepada orang ramai agar jangan cuba untuk melakukan tindakan melulu menjurus kepada perbuatan jenayah. Undang-undang negara akan sentiasa ditegakkan dan dikuatkuasakan bagi kepentingan ketenteraman dan keamanan negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI