GADONG, Khamis 13 April 2023 – Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan satu Majlis Tadarus dan Ceramah Sempena Nuzul Al-Quran Pasukan Polis Diraja Brunei bagi tahun 1444H/2023M yang diadakan di Surau Polis Gadong, PPDB pada 13 April 2023. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis (CP) PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali. 

Turut hadir pada majlis yang penuh keberkatan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, para pengarah, timbalan pengarah, para pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, para pegawai serta anggota dan warga kakitangan awam PPDB. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah disusuli dengan majlis tadarus. Seterusnya Sembahyang Fardhu Zuhur berjemaah yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan ceramah ugama yang disampaikan oleh Dr Haji Hambali bin Haji Jaili, Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan kepada semua anggota PPDB dan seluruh penduduk Negara Brunei Darussalam bersempena bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​