GADONG, Sabtu 17 Februari 2024 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Ke-50 Tahun anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). 

Berangkat sama di majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita dan Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. 

Turut hadir di majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahan ll, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dan Ekonomi II. 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia berserta kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali serta Pg Datin dan Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB dan Datin. 

Pada majlis berkenaan, DYTM berkenan untuk menandatangani ‘Lembaran Kenangan Keberangkatan’ dan disusuli dengan sesi bergambar ramai. 

Sambutan puja usia DYTM turut dimeriahkan dengan majlis memotong kek yang diiringi dengan nyanyian puja usia yang disampaikan oleh pasukan koir terdiri daripada pegawai-pegawai PPDB. 

DYTM seterusnya berkenan menerima pesambah yang disembahkan oleh Pesuruhjaya Polis PPDB. 

DYTM dan YTM serta kerabat diraja yang lain kemudiannya dijunjung ke Pentas Bankuet bagi Majlis Santap. 

Seluruh warga PPDB, serta keluarga dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan ucapan Selamat Hari Puja Usia Yang Ke-50 Tahun ke hadapan majlis DYTM dan berdoa ke hadrat Allah, semoga akan sentiasa melimpahkan kurnia kesihatan kepada DYTM berserta kerabat diraja. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​