GADONG, Selasa 17 Mac 2025 – Bulan Ramadan itu istimewa kerana ganjaran pahala berlipat ganda bagi setiap amal kebajikan. Antara amalan yang sering dilakukan ialah memberi sumbangan kepada anak yatim dan golongan memerlukan. Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut mengadakan Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim anjuran Badan Kebajikan PPDB dan Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI), khas sempena bulan mulia ini. 

Seramai 75 orang anak yatim warga PPDB menerima sumbangan derma pada majlis yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Hadir menyampaikan derma-derma tersebut ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin dan isteri, Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong, selaku Pemangku Yang Dipertua PEKERTI. 

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis dan isteri, Yang Mulia Nurakmalia binti Lt. Kol (B) Awang Iskandar, Pemangku Pengerusi PEKERTI, serta Pengarah-Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, dan anggota pangkat rendah PPDB termasuk ahli-ahli PEKERTI. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia APO Staff Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar Imam Surau Polis Gadong dan seterusnya bacaan ayat suci Al-Quran iaitu Surah An-Nisa ayat 1 hingga 6 yang dibaca oleh L/Cpl 5849 Ahmad Raihan bin Begawan Mudim Haji Matassim. Majlis disempurnakan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim oleh tetamu kehormat. 

Majlis ini diadakan sebagai inisiatif untuk menyalurkan sumbangan khas kepada anakanak yatim PPDB, dengan tujuan meringankan beban perbelanjaan mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI