GADONG, Sabtu, 14 Mac 2026 – Badan Kebajikan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) telah mengadakan Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim PPDB bagi Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis bersama isteri, Yang Mulia Datin Sabrina Aziemah binti Abdullah Chong selaku Yang Di-Pertua PEKERTI.

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis berserta isteri, Yang Mulia Dayang Nur Akmalia binti Lt Kol (B) Awang Iskandar selaku Pengerusi PEKERTI, serta para pengarah, timbalan pengarah, ketua-ketua formasi dan ahli-ahli PEKERTI.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh APO S/Sgt 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Polis Gadong, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh L/CPL 5849 Ahmad Raihan bin Begawan Mudin Haji Matassim.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma daripada Badan Kebajikan PPDB dan PEKERTI yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis berserta isteri serta Timbalan Pesuruhjaya Polis berserta isteri. Pada tahun ini, seramai 70 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga PPDB telah menerima sumbangan tersebut.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup yang dibacakan oleh APO S/Sgt 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

Majlis ini diadakan sebagai salah satu usaha Badan Kebajikan PPDB dan PEKERTI dalam menyantuni serta meringankan beban anak-anak yatim dalam kalangan keluarga warga Pasukan Polis Diraja Brunei, di samping memupuk semangat kebersamaan, keprihatinan dan nilai kebajikan dalam kalangan warga pasukan.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI