GADONG, Khamis, 13 Mac 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) PPDB Kali ke-4/2024 pada 13 Mac 2025 bertempat di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Program ini telah disertai oleh 15 pegawai kanan dari PPDB serta lima pegawai kanan dari Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang, iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama (BPU), Bahagian Penguatkuasaan Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Mulia Profesor Madya Pg Dr Mohd Iskandar bin Pg Hj Petra, Penolong Naib Canselor (Pendidikan), Universiti Brunei Darussalam, serta pengarah dan wakil-wakil pengarah serta pengawaI dari agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang terlibat.
Dalam ucapannya, Yang Mulia Emil Zahrin bin Hj Ali, Penyelaras Program EDPMMO PPDB Kali ke-4, menekankan bahawa program yang berlangsung selama sembilan minggu bermula 19 Ogos hingga 18 Oktober 2024 ini telah memberikan peserta peluang untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang amat relevan, sejajar dengan keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh PPDB serta agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang.
Sepanjang program ini, peserta telah didedahkan kepada pelbagai cabaran yang menguji karakter kepimpinan mereka dalam situasi yang di luar zon selesa. Mereka juga diberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi terkini, termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), bagi memperluaskan ilmu pengetahuan, memperkukuh kepakaran serta meningkatkan pemahaman mereka terhadap aplikasi teknologi dan transformasi digital dalam tugas harian.
Selain itu, peserta juga berpeluang mendalami peranan komunikasi strategik dalam menangani krisis, serta menghayati kepentingan etika, integriti, akauntabiliti dan tadbir urus Islam sebagai panduan dalam membuat keputusan yang mampan.
Modul-modul yang diterapkan dalam program ini telah memperluaskan perspektif peserta terhadap isu-isu kritikal di peringkat serantau dan global yang turut memberi impak kepada keselamatan negara.
Dikeluarkan Oleh:
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
