KUALA BELAIT, Jumaat 8 Disember 2023 – Majlis Penutup Perkhemahan Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei telah diadakan pada hari Khamis, 7 Disember 2023. Program Perkhemahan Pasukan Kadet Polis Diraja Brunei bagi Institut Pengajian Tinggi, Maktab-Maktab, Sekolah-Sekolah Menengah dan Pendidikan Swasta senegara kali ke-38 telah diadakan selama 4 hari di Taman Rekreasi Pantai Lumut, bermula dari 4 Disember 2023 hingga 7 Disember 2023. Seramai 180 orang peserta dari 3 Institut Pengajian Tinggi dan 16 Sekolah Menengah dan Swasta termasuk 28 orang Guru Pengawas Kadet Polis telah mengikuti program perkhemahan tersebut. 

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. 

Turut hadir, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Timbalan Pesuruhjaya Polis, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB dan Pegawai-Pegawai dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan. 

Program ini adalah projek kegiatan tahunan Pasukan Kadet Polis di bawah Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan anjuran bersama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan. Aktiviti perkhemahan meliputi aspek rohani, akademik, fizikal dan kemasyarakatan. Selain itu juga ianya dihasrat untuk dapat menggalakkan perkembangan bakat dan sifat kreatif pelajar, menyemai dan memupuk rasa kekitaan dan semangat berpasukan dan perpaduan diantara ahli melalui kegiatan berkumpulan atau berpasukan. 

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang 4 hari perkhemahan adalah seperti program keugamaan dan kerohanian; ceramah motivasi; penghayatan jati diri Brunei; kempen kebersihan; perlawanan sukan bola jaring, bola tampar, bulu tangkis dan tarik kalat; serta sambutan malam kebudayaan. Selain itu ahli kadet juga didedahkan kepada beberapa aspek kepolisan melalui taklimat undang-undang dan keselamatan dan melalui aktiviti seperti berkawad, menjalankan rondaan dan kawalan malam serta pengawasan kejiranan. 

Tetamu Kehormat dalam ucapannya menekankan program ini dapat mengajar peserta untuk menghadapi cabaran dengan tabah dan mengatasi segala rintangan dengan keberanian. Ianya juga memupuk persahabatan dikalangan peserta dari sekolah dan latar belakang yang berlainan, menekankan nilai-nilai kejiranan, solidariti, menyumbang kepada masyarakat dan menjadi warga bertanggungjawab. 

Dikeluarka​n oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​