GADONG, Khamis 04 September 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di Surau Polis Gadong pada 4 September 2025.

Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ini telah berlangsung selama 11 malam berturut-turut bermula dari 1 Rabiulawal 1447H, yang mana merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang dikendalikan setiap tahun oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, Pesuruhjaya Polis, PPDB. Turut hadir ialah Pengarah-Pengarah, Pegawai-Pegawai kanan, kakitangan serta anggota PPDB.

Acara dimulakan dengan sembahyang fardhu Maghrib yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, Yang Mulia APO Staf Sarjan 6472 Mohamad Yusri bin Haji Abu Bakar. Majlis diteruskan dengan bacaan dikir beramai-ramai oleh para hadirin, seterusnya diakhiri dengan sembahyang fardhu Isyak berjemaah.

Dengan mengadakan majlis seumpama ini, masyarakat dapat menzahirkan kecintaan dan penghormatan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Selain memperkukuh ukhuwah dan semangat keagamaan, ia juga mendidik umat Islam untuk lebih memahami sirah dan sunnah Nabi bagi dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.

MAULUDD.jpeg
MAULUDD 1.jpeg
MAULUDD 2.jpeg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI