BANGAR, Khamis, 29 Mei 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Asas Keberkesanan Pengawasan Kejiranan (PK) Sesi 4/2025, yang berlangsung selama dua (2) hari di Dewan Serbaguna, Kompleks Bumiputra, Pekan Bangar.
Seramai 31 orang peserta telah menyertai kursus ini, terdiri daripada kakitangan kerajaan termasuk Penghulu dan Ketua Kampung, kakitangan swasta serta orang awam yang merupakan ahli berdaftar di bawah program Pengawasan Kejiranan (PK) di bawah tadahan Daerah Polis Temburong.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Yang Mulia Timbalan Penguasa Polis Shamsulariffin bin Hj Abd Wahab, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta. Turut hadir ialah pegawai dan anggota dari Daerah Polis Temburong, manakala Unit Perhubungan Awam PPDB bertindak sebagai Urusetia dan penyelaras kursus.
Sepanjang kursus, para peserta menerima taklimat daripada pegawai pelbagai jabatan di bawah PPDB serta agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Syariah, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, dan Bahagian Keselamatan dan Kesejahteraan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, seiring dengan peranan mereka sebagai ahli Pengawasan Kejiranan. Di samping itu, ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara PPDB dan masyarakat setempat.
Adalah diharapkan bahawa penganjuran kursus ini akan menjadi pemangkin ke arah pencapaian matlamat utama program Pengawasan Kejiranan, iaitu memperkukuh kerjasama antara masyarakat dan PPDB dalam usaha mengesan serta mencegah jenayah di negara ini.
Dikeluarkan Oleh:
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
